Sunday, September 9, 2012

Apa itu Pantun?

PANTUN adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman lagi. Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu membaca dan menulis lagi. Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka.

PANTUN merupakan bentuk puisi tradisional yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a,b,a,b dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat melayu. Kedua, berdasarkan hunbungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

Menurut Za'ba pula, ialah kaedah rangkapan yang tertua dan asalnya kepunyaan masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu tahu tentang surat-menyurat, mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri.

Secara ringkas, pantun dapat didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (Kamus Dewan : 813) atau sajak pendek. Setiap rangkap biasanya empat baris dan dua baris. Bagi pantun yang popular, bentuknya terdiri daripada empat baris iaitu, dua baris pembayang dan dua baris maksud.

3 comments: