Sunday, September 9, 2012

Apa itu Pantun?

PANTUN adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman lagi. Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu membaca dan menulis lagi. Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka.

PANTUN merupakan bentuk puisi tradisional yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a,b,a,b dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat melayu. Kedua, berdasarkan hunbungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

Menurut Za'ba pula, ialah kaedah rangkapan yang tertua dan asalnya kepunyaan masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu tahu tentang surat-menyurat, mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri.

Secara ringkas, pantun dapat didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (Kamus Dewan : 813) atau sajak pendek. Setiap rangkap biasanya empat baris dan dua baris. Bagi pantun yang popular, bentuknya terdiri daripada empat baris iaitu, dua baris pembayang dan dua baris maksud.

Friday, September 7, 2012

Ciri-Ciri Pantun

  • PANTUN ialah karangan berangkap yang menggunakan bahasa-bahasa indah.
  • Sebuah pantun wujud dalam satu rangkap yang sempurna dari segi maknanya.
  • Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan satu lagi bahagian maksud.
  • Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua adalah pembayang, manakala baris tiga dan empat adalah maksud.
  • Bagi pantun dua kerat pula, baris pertama adalah pembayang dan baris kedua adalah maksud.
  • Rima atau bunyi akhir di hujung baris adalah sejajar.
  • Bagi pantun dua kerat rima akhir dalam bentuk 'a,a'.
  • Bagi pantun empat kerat pula, rima akhir berbentuk 'a,b,a,b'.
  • Contoh pantun dua kerat :
Gendang gendut tali kecapi, (a)
Kenyang perut suka hati. (a)
  • Contoh pantun empat kerat :
Pulau Pandan jauh ke tengah, (a)
Gunung Daik bercabang tiga, (b)
Hancur badan dikandung tanah, (a)
Budi yang baik dikenang juga. (b)

  • Setiap baris dalam pantun mempunyai 4 hingga 5 perkataan.
  • Setiap baris dalam pantun juga mempunyai 8 hingga 12 suku kata.

Thursday, September 6, 2012

Fungsi Pantun.

a) Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat.

b) Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi.

c) Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan.

d) Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kiasan atau berterus-terang.

e) Sebagai alat bagi menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.

f) Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutamanya sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya.

Wednesday, September 5, 2012

Jenis-Jenis Pantun

1. Pantun Nasihat

2. Pantun Jenaka.

3. Pantun Teka-Teki

4. Pantun Kasih Sayang

5. Pantun Usik-Mengusik

6. Pantun Adat

7. Pantun Agama

Tuesday, September 4, 2012

Pantun Nasihat

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa,
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu,
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Monday, September 3, 2012

Pantun Jenaka

Orang Sasak pergi ke Bali,
Membawa pelita semuanya,
Berbisik pekak dengan yang tuli,
Tertawa si buta melihatnya.

Naik ke bukit membeli lada,
Lada sebiji dibelah tujuh,
Apanya sakit berbini janda,
Anak tiri boleh disuruh.

Limau purut di tepi rawa,
Buah di ranting belum masak,
Sakit perut sebab tertawa,
Melihat kucing duduk berbedak.

Sunday, September 2, 2012

Pantun Teka-Teki

Terbang tinggi si burung helang,
Hinggap di atas pohon meranti,
Anak ramai ibunya sorang,
Bila bergesel berapi-api?

Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki,
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini?

Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari,
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

Saturday, September 1, 2012

Pantun Kasih Sayang

Mawar putih kembang di taman,
Bunga indah suntingan puteri,
Rasa kasih bukan mainan,
Laut diredah permata dicari.

Selasih bukan sebarang selasih,
Selasih ditanam dibuat ubat,
Kasih bukan sebarang kasih,
Kasih suci dihati tersemat.

Layang-layang terbang ke atas,
Terbang burung berdua-dua,
Kasih sayang tiada terbatas,
Ke hujung dunia dicari jua.

Friday, August 31, 2012

Pantun Usik-Mengusik

Kain cindai kain batik,
Boleh digunting menjadi celana,
Sungguh pandai dan juga cantik,
Dara disunting oleh Si Teruna.

Ikan di laut asam di darat,
Dalam kuali bertemu jua,
Hati terpaut janji diikat,
Atas pelamin bertemu jua.

Di malam hari terang berseri,
Bulan purnama di hujung Julai,
Majlis gahari bertambah seri,
Menyambut kedatangan kedua mempelai.

Thursday, August 30, 2012

Pantun Adat

Ikan berenang di dalam lubuk,
Ikan belida dadanya panjang,
Adat pinang pulang ke tampuk,
Adat sireh pulang ke gagang.

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka,
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.

Bukan lebah sembarang lebah,
Lebah bersarang dibuku buluh,
Bukan sembah sembarang sembah,
Sembah bersarang jari sepuluh.

Wednesday, August 29, 2012

Pantun Agama

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan,
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah tuhan.

Sayang-sayang buah kepayang,
Buah kepayang hendak dimakan,
Manusia hanya boleh merancang,
Kuasa Allah yang menentukan.

Pangkal dibelit di pohon jarak,
Jarak nan tumbuh tepi serambi,
Jangan dibuat yang dilarang syarak,
Itulah perbuatan yang dibenci Nabi.